Sejarah Rubben Model_OSI

Pada peringkat awal perkembangan komputer iaitu pada tahun 1950-an, komputer berfungsi secara sendirian (standalone) tanpa dapat berhubung antara satu dengan yang lain. Hanya pada akhir tahun 1960-an, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Department of Defence atau DoD) telah menjalankan kajian mengenai rangkaian komputer. Rangkaian ini menggunakan kaedah telefon yang membolehkan komputer-komputer berhubung antara satu dengan yang lain walaupun berada di suatu tempat yang berlainan atau negara yang jauh.

DoD melihat kemampuan rangkaian komputer ini dapat digunakan sebagai satu alat untuk pertahanan Amerika Syarikat pada masa itu, di mana maklumat dapat dihantar dengan cepat ke tempat-tempat yang memerlukan. Untuk itu, Advanced Research Project Agency (ARPA), telah ditubuhkan dan kemudianya bertukar nama menjadi Defence Advanced Research Project Agency (DARPA) yang telah menghasilkan ARPAnet yang menyokong perkembangan protokol TCP/IP. ARPAnet seterusnya telah berkembang menjadi Internet yang dimulakan dengan menghubungkan badan-badan pemerintah dan universiti-universiti dan kemudiannya berkembang ke dalam dunia perniagaan.

Lapisan OSI

Rangkaian kawasan setempat atau Local Area Network (LAN) mula mendapat perhatian masyarakat dunia di sekitar tahun 1980-an. Ia berkemampuan untuk menghubungkan satu komputer dengan yang lain melalui penggunaan cakera keras (Disk Sharing) dan mesin pencetak (Printer Sharing). Ia kemudiannya dihubungkan dengan rangkaian kawasan setempat yang lain yang berjauhan di antara satu sama lain dan dikenali sebagai Rangkaian Kawasan Luas atau Wide Area Network (WAN).

Suatu maklumat yang dihasilkan oleh seseorang dari sesebuah komputer dapat disampaikan ke komputer lain melalui rangkaian komputer. Maklumat tersebut akan melalui proses yang panjang dan melalui berbagai lapisan dan rangkaian komputer. Pertama, maklumat yang dihantar akan diproses menjadi data-data yang kemudiannya dproses menjadi segmen-segmen. Seterusnya ia diproses menjadi paket-paket, kemudian kepada frame dan terakhir sekali menjadi bit. Bit-bit maklumat ini akan dapat dihantar melalui kabel rangkaian ke komputer lain dan diproses semula bagi mendapatkan maklumat yang asal.

Untuk memudahkan proses pengolahan data dan supaya mempunyai persamaan di antara pengusaha atau pengilang produk rangkaian, Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) telah mengeluarkan satu model lapisan rangkaian yang dikenali sebagai Open Systems Interconnection (OSI). Di dalam model OSI yang telah dikeluarkan ini, proses data dibahagikan kepada tujuh (7) lapisan di mana setiap lapisan telah diberi fungsi yang tersendiri.

Model OSI ini membincangkan secara jelas cara kerja lapisan OSI serta memberikan konsep untuk menentukan proses apa yang perlu berlaku dan protokol-protokol yang boleh digunakan kepada lapisan tersebut. Model OSI ini menjadi terkenal kerana mempunyai banyak kebaikan.